Bapa saudara pengantin perempuan, Datuk Baharudin Jali berkata, semua mereka sepakat memakai tanjak untuk majlis itu bagi mengangkat warisan budaya yang menjadi identiti orang Melayu sejak dahulu kala.

Katanya, pemakaian tanjak itu diharap dapat mengembalikan kegemilangan busana Melayu itu dalam masyarakat moden masa kini.

"Kami dapat merasakan suasana harmoni dan akrab dalam kalangan keluarga serta dapat memberikan kenangan manis kepada pasangan pengantin.

"Para tetamu majlis ini juga berasa teruja melihat pelbagai jenis dan reka bentuk tanjak yang berlainan," katanya.

Pada majlis itu, Saidatul Nadzirah Ramli, 32, dan Hafizi Othman, 38, diraikan oleh lebih 1,000 tetamu yang datang memeriahkan acara tersebut.

Pasangan itu berkenalan sejak tiga tahun lalu di sebuah pusat menguji pendengaran di Kuala Lumpur.

Saidatul Nadzirah yang bekerja sebagai pembuat kek dan Hafizi sebagai penjawat awam kemudian bertukar nombor telefon dan mereka kemudian sering berhubung melalui sistem pesanan ringkas dan aplikasi media sosial yang lain.

Selepas mengenali hati budi masing-masing, Saidatul Nadzirah dan Hafizi akhirnya membuat keputusan mendirikan rumah tangga. - UTUSAN ONLINE