Selepas menumpaskan Pulau Pinang kelmarin, skuad Tok Gajah kini memburu tiga mata lagi dalam perlawanan kedua menentang juara bertahan, Perak Khamis ini.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, mengutip mata penuh di gelanggang sendiri adalah penting untuk melangkah lebih jauh dalam saingan memburu piala berprestij itu.

Sehubungan itu katanya, Pahang akan menurunkan kesebelasan terbaik bertemu skuad Bos Gaurus yang memulakan kempen mempertahankan Piala Malaysia dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas Sabah di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

"Semua pemain Pahang masih dalam tahap terbaik, tiada kecederaan dan bebas diturunkan beraksi.

"Kita akan bermain dengan kesebelasan utama dengan harapan tiada kecederaan semasa latihan. Apa pun tiga mata penuh penting di laman sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Bagi kempen Piala Malaysia 2019, skuad Tok Gajah diundi dalam Kumpulan C bersama juara bertahan, Perak; juara Liga Perdana, Sabah dan Pulau Pinang.

Selepas melayan kunjungan Perak,

Pahang akan bertandang ke Kota Kinabalu bagi berdepan Sabah pada 17 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE