Beliau berkata, ini kerana Tabung Bayaran Balik GST setakat 31 Mei tahun lalu hanya mempunyai RM150 juta.

Sepertimana dinyatakan oleh Jabatan Akauntan Negara dalam laporan PAC, tambahnya, RM19.4 bilion yang sepatutnya digunakan untuk membuat pembayaran balik GST telah dibelanjakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Sedangkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengakui bahawa RM19.4 bilion masih lagi tidak dibayar akibat dana yang tidak mencukupi dalam Tabung Bayaran Balik GST,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Isu tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion itu menimbulkan kontroversi apabila Guan Eng ketika sesi sidang Dewan Rakyat tahun lalu mendakwa wang tersebut ‘dirompak’ semasa pentadbiran kerajaan terdahulu sehingga perkara itu dibawa ke PAC.

Bagaimanapun, Pengerusi PAC, Datuk Dr. Noraini Ahmad dalam satu kenyataan semalam mengesahkan kutipan GST bernilai RM19.4 bilion tidak hilang seperti yang didakwa Guan Eng sebelum ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng dalam kenyataan itu menambah, adalah amat jelas bahawa Akta GST telah dilanggar seperti yang dimaklumkan oleh Peguam Negara kepada pihak PAC.

Menurutnya, Akta GST memerlukan kutipan cukai itu dimasukkan ke dalam Akaun Bayaran Balik GST bagi membolehkan bayaran balik GST dibuat dalam masa 14 hari bekerja.

“Akan tetapi, ini telah gagal dilakukan seperti yang diperuntukkan oleh Akta GST. Sebaliknya, kutipan GST telah dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan.

“Peguam Negara menyatakan amalan ini menyalahi prinsip asas undang-undang amanah dan keperluan perakaunan amanah, serta tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 54(2) dan Seksyen 54(5) Akta GST 2014,” katanya.- UTUSAN ONLINE