Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Pulau Pinang mempunyai kekuatan ekonominya yang tersendiri dan sudah pasti apa juga perancangan yang akan dikemukakan menerusi RMK-12 itu nanti akan mengukuhkan kedudukan ekonomi negeri ini serta negeri lain di utara Semenanjung.

"Pulau Pinang adalah negeri penting sebagai rakan strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan pertemuan hari ini amat positif.

"Perbincangan seperti ini akan dapat menghasilkan kefahaman antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat dalam merangka RMK-12," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi libat urus bersama kerajaan negeri bagi menyediakan RMK-12 di sini hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, terdapat pelbagai cadangan dikemukakan oleh kerajaan negeri antaranya menaik taraf beberapa buah hospital awam di negeri ini seperti Hospital Sungai Bakap.

"Perkara seperti ini perlu dibincangkan lagi dengan Kementerian Kesihatan dan pertemuan seperti ini dapat menjadi panduan kepada kita untuk menyediakan kerangka RMK-12," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Pusat juga akan memberikan sokongan kepada mana-mana projek yang berkaitan dengan pengangkutan awam seperti projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP).

"Secara dasarnya, kami akan menyokong sebarang inisiatif untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sesi libat urus penyediaan RMK-12 yang dianjurkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama semua kerajaan negeri membantu dalam memastikan projek-projek yang bakal dilaksanakan dalam tempoh tersebut berjalan lancar dan mengikut jadual.

"Sesi libat urus ini penting bagi mengelak banyak projek tergendala dan terbengkalai dalam RMK sebelum ini.

"Projek-projek dalam RMK sebelum ini tergendala mungkin tidak mendapat perbincangan awal dengan kerajaan negeri kerana mungkin dilakukan Kerajaan Persekutuan tanpa mendapat persetujuan kerajaan negeri," katanya. - UTUSAN ONLINE