Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata, pihaknya kekal dengan kenyataan yang telah dibuat dalam satu sidang akhbar semalam walaupun beberapa kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah membuat kenyataan balas mempertikaikan gesaan dan desakan tersebut.

“Sudah berbincang dengan rakan-rakan Otai Reformasi senior, pendirian kita kekal kepada kenyataan sidang akhbar semalam, apa yang telah dikatakan dan berlaku..itu pendirian kita,” katanya ringkas kepada Utusan Online hari ini.

Semalam, Otai Reformis 1998 yang diketahui umum merupakan penyokong Anwar menggesa Dr. Mahathir menyerahkan segera jawatan kepada Presiden PKR itu.

Pengerusinya, Dr. Idris Ahmad berkata, ketidaktentuan peralihan kuasa di antara kedua-dua pemimpin tersebut telah menjadi polemik dalam kalangan rakyat malah boleh menjejaskan kepercayaan pelabur asing untuk melabur di negara ini.

Sebagai maklum balas terhadap kenyataan tersebut, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof menggesa kumpulan terbabit supaya berhenti dari terus mendesak Dr. Mahathir Mohamad mempercepatkan proses peralihan kuasa.

Katanya, desakan seumpama itu sehingga mengugut untuk turun semula ke jalanan sekiranya Dr. Mahathir gagal mengotakan janji sepatutnya tidak berlaku.

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari pula menyifatkan, kenyataan Otai Reformis semalam adalah dengan satu agenda cuma iaitu menumbangkan Dr. Mahathir bagi tujuan memberi keuntungan politik kepada pihak tertentu.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pula menasihatkan supaya kumpulan berkenaan agar ‘duduk diam-diam’ dan tidak kalut dalam isu penyerahan kuasa tersebut dan menegaskan Otai Reformis 1998 seharusnya berganding bahu dalam memulihkan semula kerosakan negara oleh kerajaan terdahulu.- UTUSAN ONLINE