Jumaat merupakan hari pertama pameran antara yang terulung dunia itu dibuka kepada orang awam, sekali gus tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai kehebatan persembahan pertunjukan udara selain teknologi persenjataan terkini.

Rata-rata pengunjung mula berbaris seawal pukul 8 pagi biarpun pusat pameran yang terletak di Padang Matsirat itu hanya dibuka sejam kemudian.

Pada sebelah pagi, orang ramai disajikan dengan persembahan-persembahan udara membabitkan pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tentera-tentera negara luar.

Antara yang mempamerkan kehebatan masing-masing termasuklah gabungan pesawat Sukhoi dan Hornet serta aksi daripada juruterbang Tejas (India), Russian Knights (Rusia) dan Jupiter (Indonesia).

Persembahan udara sehingga pukul 12 tengah hari akan bersambung semula pada sesi petang, manakala pameran statik dan ruang pameran di dalam MIEC dibuka sehingga pukul 6 petang. - UTUSAN ONLINE