Rumah yang didiami mereka disita dan dikunci oleh Bahagian Perumahan kerajaan negeri Pulau Pinang kerana didapati melanggar pelbagai syarat yang ditetapkan.

Sebelum ini, penyewa dikatakan telah diberikan notis pengosongan pada Oktober tahun lalu, namun kerajaan negeri bersetuju untuk melanjutkan tempoh untuk mereka mengosongkan unit masing-masing hari ini.

Di pihak penyewa sendiri diakui ada di antara mereka telah melanggar syarat penyewaan antaranya berkahwin dengan warga asing dan ada juga dikatakan telah memiliki rumah sendiri di lokasi lain.

Ada juga dalam kalangan mereka telah menghuni PPR tersebut lebih dari lima tahun dan seperti kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, sepatutnya mereka memberikan peluang kepada lebih 400 pemohon lain yang telah 10 tahun menunggu giliran untuk menduduki rumah PPR berkenaan.

Namun, bagi pihak kerajaan negeri sendiri konflik melibatkan penyewa PPR Taman Manggis itu sepatutnya dijadikan penanda aras untuk kerajaan negeri menilai adakah selama ini mereka telah menyediakan rumah-rumah yang mampu dibeli rakyat.

Apa yang boleh dilihat kini, di bahagian pulau negeri ini, rumah-rumah mewah giat dibangunkan pemaju hartanah berbanding rumah yang mampu dimiliki golongan berpendapatan rendah (B40).

Secara realitinya, sukar bagi rakyat yang masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi untuk memiliki rumah di kawasan pulau negeri ini yang harganya menjangkau ratusan ribu ringgit.

Boleh dikatakan pendapatan penyewa di PPR Taman Manggis itu masih lagi ditakuk lama dan sukar bagi mereka untuk keluar daripada belenggu kemiskinan di bandar apabila gaji yang diperoleh kurang daripada RM1,500 sebulan.

Apa yang berlaku kepada penyewa-penyewa PPR Taman Manggis menimbulkan persoalan apakah tiada tempat untuk orang miskin lagi di Pulau Pinang. - UTUSAN ONLINE