Penduduk terlibat adalah dari Kampung Kuala Koh membabitkan 65 penduduk dan Kampung Aring 5 seramai 139 orang.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, suntikan vaksin yang dilaksanakan itu mendapat kerjasama baik penduduk Orang Asli.

PENDUDUK Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, Gua Musang, Kelantan
PENDUDUK Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, Gua Musang, Kelantan menerima suntikan vaksin, semalam. - UTUSAN ONLINE

Katanya, bagaimanapun masih terdapat penduduk yang tidak dapat diberi suntikan kerana mengalami demam dan mengandung.

“Kita akan membuat suntikan itu selepas keadaan kesihatan mereka pulih atau selepas ibu terbabit bersalin nanti.

“Penduduk Orang Asli di dua kampung berkenaan menerima suntikan vaksin daripada petugas kesihatan Gua Musang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr. Zaini Hussin dilaporkan berkata, semua penduduk di sekitar Kampung Kuala Koh akan diberi suntikan vaksin bagi mengelak penularan wabak measles atau demam campak.

Tambah Hashim Alang, penduduk Orang Asli yang menerima rawatan penyakit demam campak di hospital juga masih ditempatkan secara sementara di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani, di sini.

Katanya, penduduk ditempatkan di PPS itu diberi pengawasan secukupnya termasuklah daripada segi kebajikan dan kebersihan mereka sepanjang masa.

“Kita akan melakukan pemantauan berterusan ke atas penduduk di Kampung Kuala Koh supaya taraf kesihatan mereka bertambah baik.

“Setakat ini juga tidak ada lagi kes terbaharu berkenaan jangkitan demam campak atau jangkitan paru-paru dikesan,” katanya. - UTUSAN ONLINE