Penolong Penghulu Kampung Sungai Sarok, Daud Samsudin, 30, mendakwa dia didatangi kira-kira empat ke lima individu berkenaan termasuk dalam kalangan Orang Asli dari Kampung Tasek Cunex pada 15 Mac lalu.

"Memang ada berlaku depan mata saya sendiri. Dia kata sebolehnya pihak Orang Asli ini kena lawan sebab kami dari Kampung Sungai Sarok ini ada hak, malahan seluruh kaum Orang Asli ada hak dalam negeri Perak.

"Katanya, dia hendak selamatkan tanah kami, jangan ada pembalakan ceroboh masuk tanah kami. Dia mengatakan pada saya, kalau boleh penduduk Kampung Sungai Sarok ini kena sokong dengan pihak NGO tetapi saya tidak mengakuinya sebab saya kata saya tidak ada pelajaran. Saya harap kalau abang hendak bantu mereka, abang teruskan kerana kami tidak mahu terlibat," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan semalam.

Penduduk Orang Asli Kampung Tasek Cunex sebelum ini melakukan sekatan bagi menghalang aktiviti pembalakan berlesen melibatkan kawasan seluas 80 hektar di Hutan Simpan Air Chepam di sini.

Mereka mendesak kerajaan negeri untuk mengiktiraf kawasan tanah adat yang didakwa seluas 12,465 hektar merangkumi Hutan Simpan Air Chepam, tanah kerajaan Mukim Kenering di Hulu Perak serta Hutan Simpan Piah Kuala Kangsar kerana mendakwa ia merupakan tanah nenek moyang mereka.

Pada tahun 2017, Kampung Tasik Cunex dibuka oleh sekumpulan 26 keluarga dari Kampung Sungai Sarok yang berhijrah dengan menceroboh kawasan Hutan Simpan Air Chepam milik kerajaan negeri.

Perpindahan mereka berlaku akibat perselihan faham dengan penghulu Kampung Sungai Sarok selain dipercayai berkait rapat dengan penolakan terhadap agama Islam yang sebelum ini dianuti oleh mereka.

Oleh itu, kedudukan Kampung Tasik Cunex terletak kira-kira lima kilometer di luar kawasan rizab Orang Asli RPS Dala yang berkeluasan 2,116.82 hektar dan dilengkapi dengan pejabat pentadbiran, kawasan pertanian, petempatan, sekolah, tabika Kemas serta Surau Diri Jumaat.

Jarak antara lokasi pembalakan berlesen dengan kawasan rizab Orang Asli RPS Dala ialah kira-kira dua kilometer manakala empat hingga lima kilometer dari Kampung Tasik Cunex.

Dalam pada itu, Daud berkata, setakat ini, penduduk Kampung Sungai Sarok tidak merasa terganggu dengan aktiviti pembalakan berlesen tersebut walaupun petempatan mereka adalah paling hampir dengan lokasi pembalakan kerana menganggap kegiatan itu merupakan hak kerajaan negeri, apatah lagi tiada sebarang pencemaran serius berlaku.

Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas penduduk Orang Asli Kampung Tasek Cunex tidak kesampaian apabila jalan masuk ke kampung tersebut telah terhalang dengan beberapa batang pokok dipercayai sengaja ditumbangkan bagi menghalang kemasukan pihak luar. - UTUSAN ONLINE