Ketua Polis negeri, Datuk Khalil Kader Mohd. berkata, penempatan lebih ramai anggota dan pegawainya di Batu Pahat dibuat sejajar usaha mengurangkan kadar kemalangan maut di daerah itu, antara yang tertinggi direkodkan di negara ini.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 53 kes kemalangan maut direkodkan manakala tahun ini sehingga April sahaja, sebanyak 54 kes telah dilaporkan.

“Penungang motosikal merupakan penyumbang tertinggi kadar kemalangan maut di daerah itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat 15/2019 peringkat negeri di Plaza Tol Skudai (arah selatan) di sini hari ini.

Tambahnya, berdasarkan komen netizen, selain daripada sikap pengguna jalan raya, keadaan jalan raya dan pencahayaan di Batu Pahat turut menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan itu sekali gus memerlukan penambahbaikan.

Mohd. Khalil berkata, bagi mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan pihaknya akan mengubah lokasi operasi subtek di negeri ini dari Johor Bahru ke Batu Pahat sepanjang Ops Selamat dijalankan. - UTUSAN ONLINE