Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yassin berkata, dalam ops itu, sebanyak 7,862 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 750 buah kenderaan diambil tindakan selain 825 notis saman dikeluarkan.

Beliau memberitahu, daripada kesemua kenderaan yang diperiksa itu, pihaknya telah mengesan sejumlah 1,478 kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya di negeri ini sepanjang operasi tersebut.

Zulkarnain bagaimanapun menarik perhatian, jumlah kenderaan yang diambil tindakan pada tahun ini mencatatkan penurunan iaitu 9.5 peratus berbanding 11.40 peratus dalam tempoh serupa tahun lalu.

“Kalau dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu, kita telah periksa 15,738 kenderaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,800 kenderaan (11.40 peratus) diambil tindakan.

“Kita dapati pamatuhan undang-undang kalangan pengguna jalan raya merupakan faktor penurunan jumlah kenderaan yang dikenakan tindakan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ Terengganu di sini hari ini.

Beliau selanjutnya berkata, antara kesalahan yang lazim dilakukan adalah tiada lesen memandu selain mempunyai nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Menurutnya, dalam operasi kali ini, sebanyak kenderaan disita termasuk tujuh buah motosikal dan tiga buah kereta. - UTUSAN ONLINE