SYED SALEH SYED ABD. RAHMAN

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman berkata, semua penerbangan jemaah haji dari Malaysia kini terus ke Lapangan Terbang Jeddah dan kemudiannya dibawa ke Mekah.

Bagaimanapun, operasi di Madinah akan dibuka semula selepas selesai musim haji bagi memberi peluang kepada jemaah yang belum melakukan ziarah ke Tanah Suci itu.

Syed Saleh berkata, operasi Tabung Haji yang bermula 4 Julai lepas kini telah bersedia menguruskan jemaah bagi melaksanakan kemuncak ibadat haji menjelang Hari Arafah pada 9 Zulhijjah ini.

"Kerjasama yang diberikan Kementerian Haji Arab Saudi dan pihak Muassasah Asia Tenggara akan membolehkan Tabung Haji memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah," katanya dalam sidang akhbar, baru-baru ini.

Di Mekah, sebanyak 30,2000 jemaah haji Malaysia akan tinggal di 13 bangunan atau hotel yang mempunyai sembilan maktab dan dibahagikan kepada empat zon.

Setiap maktab menempatkan 3,270 jemaah dan jarak antara maktab-maktab dengan Masjidilharam adalah antara 600 dan 900 meter. - UTUSAN ONLINE