Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, para penyedia perkhidmatan talian tetap turut memberi diskaun antara RM10 dan RM44 bagi pakej-pakej tertentu untuk golongan berkenaan.

Katanya, pengumuman itu merupakan hasil kerjasama kerajaan dan penyedia perkhidmatan telko utama di negara ini bagi memastikan golongan OKU mendapat manfaat kelebihan ekonomi digital.

“Inilah salah satu langkah diambil oleh kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk memastikan semua lapisan masyarakat tidak ketinggalan dalam menghadapi perkembangan revolusi dunia digital dan Revolusi Industri 4.0.

“Ia di mana penggunaan aplikasi teknologi terkini akan merangkumi semua aspek kehidupan kita di masa akan datang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Gobind berkata, butiran lanjut mengenai pengumuman itu akan dibuat menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pada petang ini.

Ujarnya, pihak kerajaan dengan kerjasama telko memperkenalkan inisiatif berkenaan setelah beliau bertemu dengan satu kumpulan OKU dalam satu program di Kinrara, Puchong baru-baru ini.

“Dalam program itu, saya melihat OKU menggunakan teknologi dan internet untuk menaiktaraf perniagaan dan mereka kemudian mencadangkan sekiranya boleh pihak telko mewujudkan satu pakej khas.

“Selepas itu, saya minta pegawai kementerian untuk berbincang dengan pihak telko bagi melaksanakan cadangan ini dan tidak sampai masa 10 hari, usaha ini dapat dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar.-UTUSAN ONLINE