Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock dalam kenyataan hari ini berkata, NUTP mendapati ada antara sekolah menengah yang mengadakan peperiksaan percubaan mengejar penarafan secara tidak formal di kalangan mereka sendiri dan situasi itu akan membebankan murid dan guru terlibat.

“Kita memohon agar satu kenyataan rasmi atau surat pekeliling berkaitan ini dapat dikeluarkan oleh kementerian agar guru-guru tidak keliru atau menjadi mangsa pengetua dan pentadbiran sekolah. Kebanyakan pengetua dan pentadbir sekolah memerlukan pemakluman secara hitam putih,” katanya.

Pada 6 Julai lalu, NUTP telah memuat naik satu video dalam laman sosial Facebook berhubung pemakluman Ketua Penolong Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Rohesan Mohamad yang menyatakan dengan jelas meminta semua pengetua dan pentadbir sekolah tidak mengadakan peperiksaan percubaan dan peperiksaan akhir tahun bagi pelajar tingkatan tiga.

Harry Tan berkata, perkara itu juga telah diuar-uarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan selaras dengan naratif baharu amalan pendidikan yang tidak mahu pendidikan Menengah Rendah berfokus kepada ‘Exam Oriented’ kerana PT3 sebahagian komponen Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

Kenyataan video itu juga memaklumkan bahawa menjelang 2020, soalan-soalan peperiksaan akan dibuat oleh para guru mengikut gred sekolah masing-masing.

“Jadi tidak sepatutnya dibuat perbandingan kerana pelajar dan guru yang akan tertekan dengan perbandingan ini. Kementerian hanya ingin dan mengharapkan kemenjadian murid terlaksana,” katanya merujuk kepada peperiksaan percubaan tingkatan 3 yang diadakan oleh setengah-setengah sekolah. - BERNAMA