Menurut Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, tulisan Jawi dalam subjek tersebut bukan sesuatu yang baharu malah sudah di ajar kepada murid sekolah rendah sejak 2011.

"Untuk makluman, murid mula mengenali Seni Tulisan Jawi, Cina dan Tamil sejak Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan bagi murid Tahun 1 pada 2011.

"Pada 2015, ia wujud dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 5 untuk Sekolah Jenis Kebangsaan dibawah tema 'Menghargai Budaya Bangsa'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ekoran tindakan kumpulan pendesak cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang menentang tindakan Kementerian Pendidikan memperkenal tulisan khat dan Jawi dalam buku teks sekolah.

Baru-baru ini, pertubuhan berkenaan sekali lagi mengulangi pendirian mereka serta mendesak kementerian supaya menyatakan penjelasan sekiranya pelaksanaannya tidak memerlukan murid menjalani ujian tulisan khat dan Jawi.

Tamah Harry Tan, penelitian terhadap pengenalan tulisan khat dan Jawi biarlah dilakukan oleh golongan profesional dan pihak lain diminta tidak mencetuskan lagi pelbagai spekulasi.

"Tahun ini merupakan semakan KSSR Tahun 4, biarlah golongan profesional melakukan perbincangan dan mencari jalan supaya pembelajaran seni khat ini tidak membebankan murid.

"Pengenalan seni khat adalah bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai warisan Bahasa Melayu dan identiti negara. Justeru adalah tidak wajar dijadikan isu sehingga mengundang kepada kontroversi," ujarnya. - UTUSAN ONLINE