Nur Suria Engku Tolah, 34, berkata, dia langsung tidak menduga pihak Perkeso akan membuat bayaran Faedah Pencen Penakat (FPP) suaminya memandangkan dia telah berkahwin semula pada Julai 2016.

 

Allahyarham suaminya, Wan Mohd. Firdaus Wan Zakaria meninggal dunia ketika berusia 26 tahun pada 18 Julai 2012 akibat pendarahan dalam kepala dan meninggalkan seorang anak yang berusia tujuh belas hari.

"Saya tak sangka Perkeso begitu prihatin dan bayar FPP suami kerana saya difahamkan oleh jiran-jiran apabila berkahwin semula, saya tidak layak menerimanya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, Felda Neram Satu dekat sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Biro Kebajikan Dakwah Unlimited, Ariff Rani bersama lima orang ahli jawatankuasanya.

Menurut Nur Suria, sebelum ini, dia ada menerima wang Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM1,500 yang telah dibayar Perkeso bagi tujuan pengkebumian jenazah suaminya.

Justeru itu, dia turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perkeso dan katanya, dengan wang berjumlah RM51,582.77 yang diterimanya itu, dia akan memastikan anaknya, Wan Muhammad Izzraiyan Wan Mohd. Firdaus, 7, mendapat pendidikan yang sempurna dan berjaya pada masa hadapan.

 

Sementara itu, Bunjamin berkata, Perkeso membuat bayaran pertama pencen yang melibatkan tunggakan pencen mulai Julai 2012 hingga Julai 2019 berjumlah RM51,582.77 yang merupakan FPP arwah suami Nur Suria bagi tanggungan sebanyak RM600 sebulan sejak kematian Wan Mohd. Firdaus.

 

Jelasnya, Perkeso akan terus membuat bayaran sebanyak RM600 sebulan yang dibayar terus melalui akaun sehingga anaknya mencapai usia 21 tahun atau jika sambung belajar sehingga Ijazah pertama.

Katanya, walaupun balu Allahyarham telah berkahwin semula pada Julai 2016 beliau layak menerima pencen tersebut kerana berkahwin semula selepas pindaan peraturan yang dibuat pada bulan Mei 2005.

"Bantuan faedah Perkeso ini sangat penting dan besar maknanya kepada setiap pencarum di mana tujuan diwujudkan skuad untuk adakan promosi berterusan supaya majikan perlu lebih bertanggungjawab bagi membolehkan pekerja masing-masing membuat caruman," katanya. - UTUSAN ONLINE