Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata, pelantikan itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, keputusan itu selaras dengan subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597].

"Pelantikan ini adalah antara langkah pembaharuan yang diambil oleh kerajaan dalam melindungi hak kanak-kanak yang berkuat kuasa mulai 27 April lalu," katanya di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri berkata, Noor Aziah mempunyai lebih 23 tahun pengalaman dalam bidang hak asasi manusia terutamanya berkaitan hak wanita dan kanak-kanak melalui aspek perundangan. 

Beliau merupakan Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak untuk tempoh 2017 hingga 2019 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Sebelum ini, beliau telah dilantik sebagai Wakil Malaysia dalam ASEAN Commission on the Promotion and Protection of the Rights of Women and Children untuk tempoh 2016 hingga 2019.

"Beliau juga pernah menjadi Pengerusi bagi Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia (Muslim Women Consulatative Council 2013 hingga 2019)," katanya. - UTUSAN ONLINE