Aishah Shuri, 51, berkata sudah lima tahun dia tidak merasai suasana meriah Aidilfitri selepas ditinggalkan suami. Sejak itu dia menghabiskan masa di jalanan walaupun pada Hari Raya.

"Sejak saya ditinggalkan suami, saya tidak boleh bekerja kerana mengalami sakit badan selepas melahirkan anak lelaki saya dan terpaksa hidup gelandangan.

"Namun, sejak diterima menjadi penghuni Pusat Transit Gelandangan, Jalan Pahang, saya rasa bersyukur kerana masih ada yang mengambil berat akan nasib kami ketika musim perayaan dan meraikannya bersama-sama," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Aishah merupakan antara 200 gelandangan yang diraikan oleh Institut Onn Jaafar (IOJ) menerusi program 'Jom Raya' dengan kerjasama Hotel Park Royal.Program itu turut disertai 27 sukarelawan terdiri daripada mahasiswa institusi pengajian tinggi swasta.

Shamsudin Shaari, 44, turut bersyukur kerana dapat berpuasa penuh pada tahun ini dan bersolat sunat Aidilfitri secara berjemaah di masjid terdekat. "Saya dapat berpuasa penuh kerana ramai yang memberi makanan percuma kepada kami(gelandangan) untuk berbuka puasa dan sahur.

"Tahun ini juga, saya berpeluang memakai baju raya, hasil sumbangan orang ramai, untuk ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri... saya sangat berterima kasih kepada mereka," katanya yang berasal dari Gerik, Perak.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan kemudahan tempat tinggal. Mereka kini bukan sahaja dapat berteduh, tapi dapat jalinkan hubungan kekeluargaan di pusat itu.

"Pusat ini juga seolah-olah memberi nafas baharu buat saya untuk menyambut Aidilfitridengan merekayanglain," katanya. - BERNAMA