Beliau berkata, Nie Ching hanya berkongsi maklumat mengenai inisiatif yang dilaksanakan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) berhubung cadangan penambahbaikan mata pelajaran tersebut di sekolah.

“Kaji selidik tersebut dikeluarkan di laman web Kementerian Pendidikan, kemudian Nie Ching kongsikan maklumat tersebut di media sosial beliau.

“Ada orang tangkap layar dari media sosial beliau dan timbulkan isu bahawa timbalan menteri mahu campur tangan isu Pendidikan Islam, itu tidak benar dan tidak timbul isu campur tangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Jalinan Mesra Menteri Pendidikan bersama warga kementerian, di sini hari ini.

Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai hantaran Nie Ching dalam laman sosial Facebook miliknya yang mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan dan idea kepada Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI). - UTUSAN ONLINE.