Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman berkata, pihaknya menggesa pengurusan tertinggi Felda menarik balik pekeliling mengenai penurunan bayaran pinjaman sara hidup yang didakwa bercanggah dengan janji manifesto PH.

Mazlan yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkata, penurunan kadar bayaran pinjaman sara hidup adalah satu pengkhianatan kerana kadar yang ditetapkan sekarang adalah perjanjian antara peneroka dan pihak Felda sejak sekian lama.

“Masalah kedudukan kewa­ngan Felda bukan hujah yang sepatutnya mereka beri. Dengan sumber kewangan yang ada sekarang kami tidak nampak mengapa perlu kurangkan bayaran pinjaman sara hidup ini. Lembaga Pengarah Felda kena jawab.

“Dalam manifesto mereka kata setuju dengan perjanjian sedia ada maknanya mereka setuju kadar bayaran pinjaman sekarang malah berjanji akan tambah kadarnya. Tetapi kini lain yang terjadi apabila pengurusan tertinggi ambil keputusan untuk kurangkan.

“Selain itu, Kertas Putih yang akan dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kelak tidak seharusnya hanya mendedahkan penyelewengan, tetapi warga Felda ingin melihat juga pelan dan tindakan segera pemulihan Felda menjelang PH memerintah sebagai kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Mazlan, beliau meng­ingatkan kerajaan PH untuk konsisten menunaikan janji mereka terutamanya kepada warga pene­roka yang menjadi satu penyumbang besar kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Jelas Mazlan, pihaknya tidak mahu pekeliling itu menambah beban peneroka yang pendapatan semakin berkurang dengan bayaran bantuan sara hidup bulanan yang sering tertunggak.

“Dalam PRU lalu buat pertama kali dalam sejarah 19 kawasan Felda memberi kemenangan kepada PH dengan harapan mereka dapat menikmati hidup lebih baik dengan kerajaan baharu, terutamanya anak-anak muda Felda yang inginkan perubahan.

“Sekiranya pembaharuan tidak dibuat dan situasi ini berkekalan sampai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), saya ingin nyatakan bahawa sokongan ini akan hilang dan lenyap apabila kerajaan gagal beri perubahan dengan apa yang berlaku pada waktu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan turut menggesa kerajaan untuk mela­kukan rombakan besar-besaran terhadap struktur organisasi Felda dengan mengambil kira pelantikan melibatkan anak-anak warga Felda yang lebih memahami masalah sebenar Felda.

“Pelantikan pengurusan baharu dalam kalangan orang yang tiada roh Felda menjadi punca mengapa dasar-dasar yang ditetapkan menyimpang daripada objektif sebenar penubuhan Felda dan usaha kerajaan PH mereformasi Felda,” katanya.

Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat Felda ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu pihaknya sedia maklum mengenai perkara itu dan akan memberikan jawapan dalam masa terdekat.