AMINUDDIN Harun

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri menyedari bahawa kos pengurusan dan operasi bekalan air telah meningkat setiap tahun, namun ia masih mampu diserap oleh Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

Pada situasi semasa, katanya, syarikat yang membekalkan air bersih untuk Negeri Sembilan itu masih mampu mencatatkan keuntungan.

"Sekiranya kerajaan Pusat memutuskan untuk menaikkan kadar tarif air semasa, Mesyuarat Exco akan mengadakan perbincangan lanjut mengenainya.

"Tetapi, sehingga kini, kami masih dengan pendirian untuk tidak menaikkan kadar tersebut," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Ahad lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, kadar baharu tarif air bagi semua negeri dijangka diumumkan hujung tahun ini.

"Setelah Jemaah Menteri bersetuju dengan kadar baharu ini baru saya akan umumkan kenaikan bagi setiap negeri, kemungkinan pada hujung tahun ini, tetapi saya tidak boleh janji apa-apa," kata Dr. Xavier.

Pada 13 Februari tahun ini, Aminuddin memberitahu, tiada kenaikan kadar tarif air di negeri ini dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kepentingan rakyat dan negeri ini. - UTUSAN ONLINE