Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, antara kekangannya adalah pengambilan jururawat pelatih yang kecil setiap tahun, pertambahan penduduk dan pertambahan bilangan jururawat berpencen.

Sehubungan itu katanya, sebagai langkah awal, kementerian melatih seramai 10,000 paramedik setiap tahun melalui 33 institusi latihan perubatan di seluruh negara.

“Pada masa ini, nisbah seorang jururawat adalah untuk 300 penduduk. Kita memang menuju ke arah sasaran WHO, tetapi bukan dalam waktu terdekat, mungkin dalam tempoh 10 tahun lagi.

“Bagaimanapun kita percaya jumlah pengambilan jururawat berkelulusan diploma seramai 3,300 setiap tahun masih mampu membantu hospital merawat jumlah pesakit yang ada,” kata­nya selepas merasmikan sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2017 dan Seminar Saintifik, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Pengarah Kejururawatan Bahagian Kejururawatan kementerian, Rosena Abdul Ghani dan Presiden Persa­tuan Jururawat Malaysia, Sharipah Asiah Syed Junid Aljunid.

Mengulas lanjut, Hilmi ber­kata, kementerian juga me­ngam­bil langkah melatih se­ra­mai 40,000 sukarelawan se­bagai pembantu penya­ring kesihatan dalam kalangan masyarakat setempat.

Selain itu, katanya, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Rukun Tetangga turut menyertai program sukarelawan itu yang mana seramai 11,000 daripada anggota mereka mahir dalam memberikan perkhidmatan saringan seperti memeriksa tekanan darah, kolesterol dan berat badan.

“Langkah ini membantu kementerian menggalakkan kempen penjagaan kesihatan dan gaya hidup sihat melalui proses saringan. Mencegah itu lebih baik daripada merawat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sejumlah 2,000 klinik desa di seluruh negara sedang dinaik taraf secara berperingkat kepada klinik kesihatan tahap tujuh (KK7).

Jelasnya, proses penambahbaikan itu akan membolehkan klinik-klinik desa menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit luar berbanding sebelum ini ha­nya untuk ibu mengandung.

“Langkah itu akan memudahkan masyarakat luar bandar, mereka tidak perlu lagi pergi ke bandar yang mana jarak perjalanan ada kalanya jauh selain meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan anugerah khas kepada tiga orang tokoh jururawat iaitu Siti Mahfudz (tokoh jururawat perkhidmatan); Dr. Jeya Devi Coomarasamy (tokoh jururawat pendidikan) dan Habesah Ab. Latif (tokoh jururawat komuniti).