Ada beberapa ketika selepas pembedahan, dia tidur dan apabila bangun, dia meraung.

Dari arah pandangannya yang lemah, seorang anggota polis yang duduk di sebelah katilnya kelihatan sama seperti pengganas kulit putih yang mela­kukan serangan di Christchurch, Jumaat lalu.

“Penyerang lengkap berpa­kaian tentera dengan ves kalis peluru dan topi keledar.

“Dia (Mohd. Nazril) menjerit memanggil saya kerana ketika kejadian berlaku saya berada di luar,” kata isterinya, Profesor Madya Dr. Zurinawati Mohi, 48.

Mohd. Nazril bersama jemaah lain mula mendirikan solat Jumaat di Masjid Al Noor ketika beliau terdengar bunyi seperti letupan mercun.

Dia yang cuba bangun dan melarikan diri tatkala mayat jemaah lain bergelimpangan, ditembak di bahagian kaki dan belakang badannya.

“Ketika itu, dia hanya beranggapan dirinya sudah tiada. Dia bernasib baik kerana di­timpa oleh mayat jemaah. Ketika itu dia masih dapat mende­ngar bunyi tapak kaki penyerang yang melepaskan tembakan rambang.

“Dia juga dapat merasakan darah mangsa korban yang masuk ke mulut, mata, hidungnya,” cerita Zurinawati seperti dilaporkan Stuff New Zealand.

Mohd. Nazril menjalani tiga pembedahan. Dia menolak ubat-ubatan yang diberi kepadanya, termasuk yang membuatkannya tidur dan yang membuatkan rasa panik ketika melihat anggota polis.

“Dia enggan tidur. Adakala­nya dia menutup mata, namun saya percaya dia tidak tidur,” jelasnya.

Zurinawati berkata, fokus utama ketika ini adalah proses pemulihan suaminya.

Namun katanya, Mohd. Nazril masih dibayangi kejadian mengerikan itu.

“Dia masih ingat dengan jelas tentang apa yang berlaku,” katanya.