Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mengakui keputusan tersebut menggusarkan golongan berkenaan yang rata-ratanya penduduk luar bandar dan tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Menurutnya, nasib para penoreh dan pekebun kecil komoditi itu kini diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ iaitu tatkala mereka kini bergelut dalam situasi harga lantai getah yang hanya RM2.30 bagi setiap kilogram.

“Sudahlah harga murah, bantuan daripada kerajaan pula tidak ada, siapa lagi nak tunggu dalam industri ini kalau mereka sendiri tidak nampak cahaya di hujung terowong.

“Kalau betul rasa getah penting maka kena buat sesuatu, saya dengar pelbagai kajian hendak dibuat terhadap getah untuk jalan raya dan sebagainya tetapi belum ada apa-apa hasil.

“Saya tidak kata (skim) ini satu-satunya (bantuan) tetapi sementara mencari alternatif lain seeloknya dikekalkan bantuan ini. Kenapa tutup (hentikan) yang ini sementara bantuan lain nak datang (diperkenalkan),” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Negeri di sini hari ini.

Isnin lalu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Walaupun sedar ramai pekebun kecil persendirian merayu supaya skim tersebut diperkenalkan semula, Teresa Kok menyifatkan skim itu hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Felda dan Felcra.

Mengulas lanjut, Johari berkata, sekiranya keputusan tidak mengembalikan bantuan itu dikekalkan, tidak mustahil para penoreh akan menjual tanah atau kebun mereka yang akhirnya menyebabkan industri itu semakin mengecil.

“Apa yang pasti pekebun akan terus menoreh sehingga tiada lagi getah di pokok sekiranya mereka tiada duit untuk menanam semula kerana perkara itu memerlukan modal yang tinggi,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE