Mamat kantoi dengan peket lutsinar yang ditemui bersamanya ketika ditahan polis dan petang ini, pada pukul 3, nasib Mamat akan ditentukan apabila pihak penganjur konsert, Shiraz, terpaksa pergi ke Johor Bahru, Johor dalam usaha untuk membayar wang jaminan bagi melepaskan Mamat.

Onar yang dibawa secara tiba-tiba tidak mengganggu aturan Konsert Reunion Exists yang akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor walaupun secara mata kasar, ia mencacatkan aturan yang dibuat oleh pihak penganjur.

Sementelah para peminat Exists menanti konsert yang pertama kali diadakan oleh kumpulan yang mempunyai ramai peminat kerana lagu-lagu popular mereka.

EZAD DAN MAMAT
MAMAT (kanan) bersama Ezad Lazim yang menjadi vokalis kumpulan Exists

Mujur Exists ada dua vokalis iaitu Ezad Lazim. Kiranya nama Exists itu amat sesuai, plan exit (perancangan keluar) dan andai kata Mamat tidak dapat berakhir di Konsert Reunion Exists, kumpulan ini tetap mempunyai vokalis mereka iaitu Ezad.

Sebagai penganjur, mereka bersikap opitimistik dan yakin, Mamat akan menyertai konsert tersebut nanti.

"Pihak pengurusan Shiraz dalam perjalanan ke Johor Bahru dalam usaha untuk membebaskan Mamat dengan jaminan (bail). Jadi, sama-sama kita berdoa, urusan Shiraz ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) berjalan lancar," kata pihak Shiraz kepada wartawan Utusan Online ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp baru sebentar tadi.

Katanya lagi, sebarang perkembangan akan segera dimaklumkan kepada pihak Utusan Online agar para peminat Exists dapat mengikuti perkembangan kes penangkapan Mamat. - UTUSAN ONLINE