Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) menerusi satu kenyataan memaklumkan, dalam mesyua­rat tersebut, Najib diberi penerangan mengenai pelaksanaan Dasar Wasatiyyah Negara yang mengan­dungi enam bidang strategik.

Keenam-enam bidang itu ialah pendidikan dan belia, ekonomi dan pembangunan, pentadbiran dan perundangan.

Bidang lain ialah perpaduan dan sosial, politik dan kenegaraan serta keselamatan dan pertahanan.

Pembentangan tersebut dilakukan oleh Pengarah IWM, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Yusof Din.

‘‘Anggota mesyuarat turut memberi pandangan dan mencetuskan idea-idea bagi memantapkan Dasar Wasatiyyah Negara agar dapat dijalankan secara sistematik dan tersusun di semua peringkat,’’ kata kenyataan itu, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Ketua Pe­ngarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman; ketua-ketua setiausaha kementerian dan setiausaha-setiausaha kerajaan negeri.

Selepas selesai mempengerusikan mesyuarat berkenaan, Perdana Menteri melancarkan dua buku iaitu Fiqh Wala dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahte­rakan Negara dan Malaysia Bukan Negara Gagal yang merupakan kompilasi ucapan beliau mengenai pendekatan wasatiyyah yang diamalkan di negara ini.

Buku Fiqh Wala dan Taat: Pera­nannya Dalam Mensejahterakan Negara membicarakan mengenai politik atau dalam istilah Arab, siasah yang menuntut kepasa satu prinsip yang menjadi tunjang utama, fundamental kepada sesebuah organisasi malah untuk negara melibatkan prinsip atau soal wala’.

Buku tersebut juga memper­halusi satu aspek daripada fiqh ke­negaraan yang mampu memberi kesan positif kepada masyarakat terutama dalam merangka strategi penyelesaian terhadap isu-isu yang menuntut perhatian masyarakat selain mengangkat tema wala’ dan taat dalam konteks yang paling asas dan positif.

Sementara, buku Malaysia Bukan Negara Gagal pula mengupas dan menidakkan pandangan bahawa Malaysia adalah sebuah negara gagal di mana tuduhan retorik politik itu menjadi frasa yang kerap diperkatakan.