J.SOLOMON

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J. Solomon berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana gaji minimum sedia ada mungkin tidak mencukupi sehingga Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa situasi kemiskinan di Malaysia jauh lebih buruk daripada yang digambarkan oleh kerajaan.

“Rumusan PBB mengenai tahap kemiskinan di Malaysia mungkin dipengaruhi hakikat gaji minimum bulanan RM1,100 tidak mencukupi untuk sara hidup, justeru memaksa ramai isi keluarga hidup dalam kemiskinan.

“Oleh itu untuk menangani masalah kemiskinan, gaji minimum harus dinaikkan secara ketara dan kerajaan mesti berhenti memberi alasan kononnya langkah sedemikian hanya akan menambah inflasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, kerajaan boleh memperbetulkan keadaan itu dengan menambah gaji minimum kepada kadar yang mampu menampung keperluan sara hidup pada Belanjawan 2020 yang akan dibentang pada Oktober ini.

Dalam laporan yang didedahkan PBB Jumaat lalu, Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Sebaliknya, kata beliau, kadar kemiskinan yang sebenar di Malaysia adalah kira-kira 15 peratus. -UTUSAN ONLINE