Mangsa, Ramli Osman, 38, pengawal keselamatan sebuah sekolah di Ayer Molek dan menunggang motosikal jenis Yamaha LC maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian pukul 9 malam.

Dua lagi penunggang, Ramly Kassim, 52, mengalami luka di tangan dan patah di bahagian bawah lutut, manakala Muhammad Ikhmal Zulkaflee, 22, yang cedera ringan dirawat di zon kuning Hospital Alor Gajah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya, mangsa ketika kejadian dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Kuala Sungai Baru menghala ke arah Linggi.

"Sebaik sahaja tiba di persimpangan Jalan Kolej Islam Kuala Sungai Baru, mangsa yang hendak memasuki simpang sebelah kanan dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal jenis Modenas RS200 yang ditunggang lelaki berusia 22 tahun.

"Akibat pelangggaran itu, mangsa kemudian bergesel dengan sebuah lagi motosikal jenis Honda Wave dari arah sama. Mangsa maut di tempat kejadian manakala dua lagi penunggang terlibat cedera dan mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan katanya lagi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE