Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, hanya dua kes kematian melibatkan bekas pesakit hospital itu dilaporkan setakat ini.

Ujarnya, kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 74 tahun yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini akibat masalah jantung, manakala seorang lagi lelaki pesakit buah pinggang berumur 69 tahun yang meninggal dunia di rumahnya.

"Makluman dan siasatan mendapati rawatan yang diberikan oleh pihak hospital (HTJ) adalah bertepatan dengan piawaian perawatan yang ditetapkan.

"Tiada kematian lain selain dua kes tersebut berlaku dalam kalangan bekas pesakit sejak MMC diarah tutup mengikut undang-undang," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Veerapan berkata, selepas pusat perubatan itu ditutup, pesakitnya telah dipindahkan untuk menyambung rawatan di pusat dialisis swasta dan hospital-hospital kerajaan di negeri ini.

Jelasnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan sentiasa mengutamakan kesihatan semua bekas pesakit MMC yang perlu mendapatkan rawatan bagi penyakit mereka.

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan membatalkan lesen MMC selepas didapati melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586]. - UTUSAN ONLINE