Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Nurul Fadtan Yusoff berkata, pihaknya kesal dengan dakwaan bahawa produk terbarunya yang berada di pasaran sejak sebulan lalu itu mengandungi dadah jenis morfin.

“Dakwaan ini merupakan fitnah dan dilihat sengaja dibuat oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Semua produk kita melalui proses serta prosedur yang ditetapkan selain terjamin dengan piawaian Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA 1994), Good Manufacturing Practices (GMP) dan Sistem Pengurusan Berkualiti ISO 9001:2015.

“Oleh demikian, walaupun melalui prosedur, kita tetap akan menjalankan ujian kimia berikutan mahu membuktikan bahawa produk kita bebas daripada sebarang bahan terlarang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, tersebar satu rakaman suara yang mendakwa produk keluaran NSTY Holdings mempunyai morfin dan meminta orang awam supaya berhati-hati menggunakan produk tersebut.

Difahamkan, rakaman suara itu dibuat oleh seorang penjawat awam.

Sementara itu, peguam mewakili syarikat berkenaan, Datuk Dr. Aswandi Mohamed Hashim berkata, ekoran dakwaan itu, pihaknya telah membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, pada hari yang sama.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang menyebarkan fitnah berhubung perkara itu.

“Walaupun individu ini meminta maaf, pihak kami tidak akan menerimanya. Kami bercadang untuk memfailkan saman sivil terhadap pelaku terbabit,” ujarnya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar berasingan di Kelantan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. memaklumkan, pihaknya belum menerima sebarang laporan atau kes berhubung cecair vape yang mengakibatkan pengguna rokok eletronik itu positif morfin selepas saringan ujian air kencing.

Katanya, pihaknya sedia maklum berhubung isu berkenaan yang viral di media sosial namun belum menerima sebarang laporan berhubungnya.-UTUSAN ONLINE