Pengerusi Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, pihaknya ketika ini hanya mempunyai lapan ladang tersebut di seluruh negara dengan jumlah pengeluaran harian sebanyak 265,000 ekor bagi memenuhi keperluan kontrak panel berpusat (KPB) Kementerian Kewangan.

Menurutnya, ladang-ladang berkenaan dijangka dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun dengan jumlah pengeluaran mampu mencecah lebih 400,000 ekor sehari.

"Nafas mengalu-alukan peladang muda untuk terlibat dalam ladang kontrak ini yang akan mengikuti latihan di Institut Veterinar Muar (IVM) Johor dan Institut Teknologi Unggas (ITU) Melaka," katanya selepas menyertai Lawatan Kerja Exco Pertanian Negeri ke ladang kontrak ayam pedaging Nafas di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin.

Dalam perkembangan sama, Phahrolrazi berkata, Nafas setakat ini mengeluarkan tiga produk ayam iaitu ayam potong peladang, paha ayam tanpa tulang dan kepingan ayam yang kini dipasarkan di lapan buah pasaraya terkenal di utara.

"Kami memproses makanan ini di kilang yang mempunyai Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), ISO22000 dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).

"Selain itu, ladang yang diusahakan Nafas juga menggunakan makanan ayam daripada sumber patuh syariah yang memenuhi keperluan pengguna muslim di negara ini khususnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE