Menerusi kenyataan hari ini, DBP memberitahu, penjenamaan semula itu menunjukkan pihak Kementerian Belia dan Sukan tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu.

Jelasnya, Perkara 152 Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ia hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi negara.

Menurutnya lagi, bahasa rasmi yang dimaksudkan ialah bahasa yang digunakan dalam semua maksud rasmi yang meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat Persekutuan, negeri, badan-badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“DBP tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong untuk menukar nama Hari Sukan Negara 2019 kepada Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19).

“Penjenamaan semula ini menunjukkan pihak Kementerian Belia dan Sukan tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu termasuk dalam program rasmi kerajaan,” katanya.

Chee Keong semalam mengumumkan Hari Sukan Negara yang disambut setiap tahun sejak 2015 ditukar kepada nama baharu iaitu Malaysia Sports Challenge atau MySC.

Sementara itu, pihak DBP turut mencadangkan supaya program dan aktiviti yang diadakan di peringkat antarabangsa diberi nama secara dwibahasa iaitu dengan mendahulukan bahasa kebangsaan dan diikuti dengan terjemahan.

“DBP menyarankan semua kementerian dan agensi kerajaan mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai identiti negara serta wahana komunikasi dan perpaduan dalam semua program peringkat jabatan, kebangsaan dan antarabangsa.-UTUSAN ONLINE