Muzium pertama seumpamanya di negara ini dan ketiga di dunia dibangunkan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hasil pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara kerajaan negeri dengan institusi pengajian tinggi itu pada tahun 2014.

Usaha yang meletakkan Muzium Negeri itu sebagai salah satu muzium yang terkehadapan di peringkat antarabangsa bakal membolehkan warisan Terengganu dikongsi meluas untuk faedah penyelidik di seluruh dunia.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah berkata, buat permulaan, 200 artifak dipaparkan dalam bentuk tiga dimensi (3D).

“Ini meliputi lapan galeri iaitu sumber alam dan ekonomi, Islam, kraf, maritim, sejarah, diraja, perikanan dan taman laut diikuti pelayaran dan perdagangan. Melalui sistem maya dengan teknologi manipulasi secara 360 darjah, pengunjung akan dapat merasai pengalaman bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Simposium Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Warisan Budaya serta Sistem Muzium Maya Terengganu di sini yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman.

Yang hadir sama Pengerusi Lembaga Muzium negeri, Datuk Osman Muda; Pengarah Lembaga Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah serta Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM, Prof. Dr. Abdullah Mohd. Zin.

Katanya, melalui projek ini, institusi muzium juga boleh menjimatkan kos untuk ruang pameran dan pembayaran kakitangan bertugas selain menjana pendapatan.

“Warisan budaya banyak terdapat dalam bentuk artifak dan proses interaksi sukar kerana bahan itu disimpan di sebalik cermin di muzium. Saya yakin, sistem ini mampu memberi manfaat dan impak besar kepada masyarakat,” ujarnya.

Imran memberitahu, reka bentuk sistem muzium maya telah dinilai oleh enam orang pakar,melalui penilaian dan pengujian kognitif pada Jun 2015 bagi mendapatkan maklum balas kandungan serta reka bentuk prototaip yang dibangunkan.

Katanya, setakat ini, 400 artifak sudah berjaya dimasukkan ke dalam sistem repositori dengan 200 daripadanya dimuatkan ke dalam muzium maya menerusi laman web http://www.ftsm.ukm.my/museummaya.

“Secara keseluruhannya terdapat 33,000 artifak di Muzium Negeri, justeru kita menyasarkan tempoh dua tahun dari sekarang untuk menyiapkannya. Pengunjung boleh melihat kira-kira 10 hingga 20 peratus daripada keseluruhan muzium,” katanya.