Yang Dipertua Majlis Belia Negeri Perlis, Noor Hairi Noor Mohammed berkata, adalah mustahil Syed Saddiq tidak mengenali rakan-rakannya itu yang mempunyai jawatan di dalam Armada, malah pelantikan mereka juga telah mendapat persetujuan Ahli Parlimen Muar itu, sebelum ini.

Katanya, beliau percaya, rakyat pastinya boleh menilai sendiri jawapan yang diberikan oleh Syed Saddiq dalam soal tersebut.

"Sepatutnya Syed Saddiq perlu jujur dalam soal ini (lantikan politik) dan mengaku bahawa beliau sememangnya tahu mengenai pelantikan ahli Armada itu. Jika sebelum ini, Syed Saddiq antara paling lantang menentang lantikan politik ini, tetapi apabila melibatkan kementeriannya sendiri boleh pula menerima.

"Saya pasti rakyat sudah tentunya kecewa dengan jawapan seperti itu dan boleh menilai sendiri tindakannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Syed Saddiq memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai kawalan terhadap kecenderungan sokongan politik kakitangannya apabila mengulas mengenai dakwaan kronisme dalam soal lantikan 13 orang ahli Armada sebagai penyelaras pembangunan sukan negeri.

"Saya rasa ada salah faham yang sangat jelas dalam hal ini. Pertama sekali bawah kementerian kita ada dalam lebih 4,000 orang staf (kakitangan) dan untuk saya ketahui setiap satu pegangan politik adalah mustahil.

"Sebab itu contoh baru-baru ini bila ada kalangan felo perdana merupakan penyokong tegar UMNO, Barisan Nasional (BN) masih jadi ahli UMNO, BN, sebelum ini berkempen lawan saya, tetapi jadi felo perdana saya," kata Syed Saddiq.

Sebelum ini, Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, Mohd. Fairos Rusli di laman Facebooknya mendedahkan sekeping surat dari Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai pelantikan 13 orang Pegawai Penyelaras Pembangunan Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) negeri yang kesemuanya terdiri daripada ahli Armada.

Dalam surat tersebut, yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MSN, Abdul Rashid Yaakub turut memaklumkan bahawa Menteri Belia dan Sukan telah bersetuju dengan pelantikan tersebut.

Selain itu, di media-media sosial, netizen terus mengecam lantikan tersebut selain difahamkan 10 daripada 13 orang ahli Armada yang dilantik mengisi jawatan itu sudah tidak lagi mengaktifkan akaun Facebook mereka setelah teruk dikecam.- UTUSAN ONLINE