Mustapa berkata, SME Corp telah diberikan peruntukan seba­nyak RM200 juta untuk tujuan latihan dan juga program-program promosi dan pinjaman.

Katanya, sebelum ini agensi kerajaan itu mendapat keka­ngan dalam menjalankan program tetapi dengan adanya peruntukan tersebut, pasti dapat mendorong SME Corp merancakkan lagi program latihan serta membantu PKS tempatan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

Tema bagi Bajet 2018 adalah Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi Dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rak­yat, Menuju Aspirasi TN50.

Selain itu, Mustapa berkata kerajaan turut memberikan peruntukan bagi tujuan promosi lain umpamanya Geran Pembangunan Pasaran kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan juga peruntukan seba­nyak RM200 juta untuk Dana Pelaburan Strategik Domestik.

“Terdapat juga peruntukkan sebanyak RM245 juta disalurkan kepada automasi, di mana syarikat yang menggunakan pembuatan pintar akan diberikan geran padanan.

“Ini penting untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang kompetitif dan perdagangan dapat ditingkatkan bukan sahaja di luar malah dalam negara,” katanya.

Penambahan peruntukan kepada PKS, kata beliau, dapat memberikan motivasi kepada agensi-agensi kerajaan, terutama sekali SME Corp, selaras memacu cita-cita negara dalam mencapai jumlah eks­port sebanyak 21 peratus dan juga sumbangan kepada ekonomi sebanyak 41 peratus pada tahun 2020, seperti yang dicatatkan di dalam pelan Induk PKS Negara.

Menurut Mustapa lagi, industri 4.0 merupakan satu industri baharu yang perlu diberikan fokus yang lebih, terutama sekali bagi meletakkan Malaysia di antara 20 negara terbesar di dunia dari segi saiz ekonominya.

“Kita yakin ekonomi negara akan terus mampan dengan jangkaan pertumbuhan tahunan antara 5.2 peratus dan 5.7 peratus tahun ini dan antara 5.0 dan 5.5 peratus pada tahun depan.

“Ini adalah antara peruntukan kadar yang tertinggi di dunia dan jelas kepada kita bahawa ekonomi Malaysia merupakan ekonomi yang mantap, inklusif, menyeluruh dan futuristik,” kata beliau sambil menambah bahawa bagi tahun ini, kementeriannya menyasarkan peningkatan jumlah perdagangan antara 16 dan 17 peratus. – BERNAMA