Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Datuk Mustafa Ibrahim akan menggantikan Aloyah.

Beliau percaya, kelayakan, pengalaman, pengetahuan serta kreadibiliti yang dimiliki oleh Aloyah dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan di pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan dalam memastikan pengurusan keselamatan kerajaan yang meliputi keselamatan fizikal, dokumen dan personel dipertingkatkan.

“Saya mewakili Jabatan Perkhidmatan Awam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada bekas Ketua Pengarah Pejabat Keselamatan Kerajaan atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada perkhidmatan awam dan negara selama lebih 36 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga yakin Mustafa mampu memimpin dan meneruskan kecemerlangan Jabatan Imigresen sebagai peneraju perkhidmatan imigresen serta terus meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian dan keselamatan negara dengan penuh integriti.

“Saya berkeyakinan penuh bahawa kedua-dua pegawai yang dilantik ini akan berupaya berkhidmat di organisasi masing-masing untuk menjanakan perspektif, pendekatan dan inisiatif baharu yang dapat menggalakkan kreativiti dan inovasi serta menyemai budaya kecemerlangan terhadap warga agensi masing-masing terutama dalam membantu menjayakan wawasan dan aspirasi negara,” katanya.

Aloyah, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Pengajian Pembangunan) dari Universiti Sains Malaysia telah berkhidmat selama 25 tahun dalam bidang pentadbiran, pengurusan keselamatan dan pengurusan sumber manusia.

Beliau telah berkhidmat dalam Kementerian Dalam Negeri sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen; Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia; Pengarah Bahagian Pekerja Asing; Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.

Sementara Mustafa, 57, pemegang Ijazah Sarjana Keselamatan Antarabangsa dari Universiti Pittsburgh, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Universiti Malaya), berkhidmat selama 31 tahun, berpengalaman dalam bidang pentadbiran serta pengurusan keselamatan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Rela; Pengarah Pentadbiran dan Perkhidmatan, Jabatan Pendaftaran Negara; Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport, Jabatan Imigresen; Atase Imigresen di Beijing, China; Pengarah Keselamatan Sabah dan Setiausaha Keselamatan Negeri Sembilan, Bahagian Keselamatan Negara.