Guru Besarnya, Mohd. Shakib Mohd. Salleh, berkata idea menghasilkan bendera itu dirancang sejak Januari lalu dan mula dilaksanakan sejak empat minggu lalu menerusi bimbingan 80 orang guru.

Katanya, kesemua murid terbabit merupakan murid tahap dua iaitu tahun empat, lima dan enam yang akan berhimpun menyiapkan bendera itu pada setiap Rabu iaitu pada pukul 1.15 petang sehingga pukul 2 petang.

"Rabu merupakan hari Ko-Kurikulum sekolah dan setiap orang murid ini terdiri daripada enam persatuan unit beruniform sekolah iaitu Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS), Pengakap, Tunas Puteri, Persatuan Silat dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

"Kami menggunakan sebanyak 36 pasang kain putih untuk dicat dengan warna Jalur Gemilang... Alhamdulillah bendera ini berjaya disiapkan dan akan dipamerkan pada pagar hadapan sekolah yang juga panjangnya 120 meter," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan ke-62 peringkat sekolah itu.

Mohd. Shakib berkata, majlis yang bermula seawal pukul 8 pagi dimulakan dengan perarakan membawa Jalur Gemilang berkenaan mengelilingi kawasan sekolah yang dibawa oleh kesemua 1,156 orang murid sekolah terbabit.

Beliau berpuas hati dengan majlis itu yang berjaya mencapai objektifnya apabila kesemua murid mengambil bahagian sekaligus memupuk semangat cintakan negara.

"Ada murid yang menghiaskan diri dengan pakaian Jalur Gemilang, dan ada juga murid menghias basikal masing-masing, mereka kelihatan sangat ceria dan bersama-sama menyanyikan lagu Jalur Gemilang dan Tanggal 31 dengan penuh bertenaga.

"Insya-Allah pada tahun depan kita akan hasilkan bendera terpanjang lagi mungkin sekali ganda daripada Jalur Gemilang yang dihasilkan pada tahun ini," katanya.

Majlis itu dilancarkan oleh wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar yang juga merupakan Rakan Sekolah, Zaini Mahmood. - UTUSAN ONLINE