Murid tahun tiga di sebuah sekolah di Ayer Hitam itu mendakwa, dia sering dibuli tiga rakannya iaitu dua perempuan dan seorang lelaki yang pernah menendang, menolaknya sehingga jatuh tangga dan memukul di beberapa bahagian badan.

Malah, anak kedua daripada empat beradik itu berkata, mereka juga kerap mengambil wang sakunya sehingga dia terpaksa mengikat perut pada waktu rehat atau meminta wang daripada kakaknya.

“Kadang-kadang mereka ambil RM1, RM3 dan RM4 dalam poket saya dan bila saya bawa duit syiling mereka tak ambil pula kerana hanya mahu duit kertas sahaja.

“Mereka ugut kalau saya beritahu cikgu, mereka akan kata saya yang tidak pulangkan wang yang kononnya saya pinjam, mereka juga pernah menyimbah air kepada saya dan selalu menghina keluarga saya termasuk mengatakan bapa saya gila,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya lagi, dia kini tidak mahu ke sekolah itu lagi kerana risau terus dibuli rakan-rakannya, selain tidak mampu mendaki anak tangga untuk ke kelas yang terletak di tingkat tiga sekolah terbabit.

Sementara itu, ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Asma, 32, berkata, anaknya dikesan berjalan secara tidak normal sejak Jun lalu dan kini kanak-kanak itu juga tidak boleh berjalan lama dan jauh sehingga terpaksa didukung untuk ke mana-mana.

"Sebelum ini saya sudah beberapa kali berjumpa guru di sekolah berkenaan namun seperti tidak diendahkan apabila mereka hanya memberi jawapan akan siasat dan pantau sahaja.

“Malah, ada guru yang memberi gambaran negatif kepada suami saya berikutan dia mengalami masalah kesihatan skizofernia," katanya yang juga kakitangan di sebuah hospital di sini.

Katanya, pemeriksaan pengimejan resonans megnetik (MRI) telah dilakukan ketika anaknya ditahan wad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) baru-baru ini setelah dirujuk kepada pakar kanak-kanak.

“Doktor beritahu tulang belakang anak bengkok yang mungkin disebabkan 'terhenyak' dan tidak menolak terdapat faktor lain yang menyebabkan keadaan itu.

"Kini, suami terpaksa mendukungnya termasuk untuk ke bilik air. Bahagian belakangnya juga kelihatan seperti kemerah-merahan dan benjol, saya sangat sedih melihat keadaan anak saya,” ujarnya yang turut memberitahu sudah membuat laporan polis ekoran kejadian itu. -UTUSAN ONLINE