Insiden itu berlaku semasa majlis rasmi istiadat pengebumian Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah.

Dalam satu kenyataan dua perenggan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar hari ini, Mukhriz telah menyembah maklum kepada baginda bahawa kekhilafan tersebut adalah kealpaan beliau sendiri dan tidak menggambarkan sifat sopan-santun rakyat Kedah.

Dalam video berdurasi 14 saat yang tular di media sosial menunjukkan Mukhriz tidak menghulurkan tangan dan bersalaman dengan Sultan Johor sebaliknya terus bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berdiri di sebelah kiri Sultan Ibrahim.

Kelakuan tersebut mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak termasuk Pemuda UMNO Johor yang menggesa anak Perdana Menteri itu memohon maaf kepada Sultan Johor.

Malah Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkongsi rakaman video yang menunjukkan Mukhriz tidak bersalaman dengan Sultan Johor menerusi laman Facebook HRH Crown Prince of Johor.

Tunku Ismail bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan berkaitan perkara tersebut secara langsung. - UTUSAN ONLINE