Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, Menteri Besar itu juga perlu tahu keresahan umat Islam dengan gelagat kepemimpinan DAP yang sentiasa campur tangan dalam urusan hal ehwal orang Islam atau aktiviti yang ada unsur Islam.

Menurutnya, gelombang muafakat itu bukan bersifat politik semata-mata kerana ia adalah manifestasi keyakinan orang Islam kepada Allah SWT serta kepercayaan terhadap Islam yang merupakan tali yang mengeratkan ikatan penyatuan ummah.

"Mukhriz juga perlu sedar bahawa Islam sememangnya menyeru umatnya supaya bersatu dan menjauhi pecah belah dan penyatuan ini tidak hanya terbatas kepada politik semata-mata.

"Biarkan sahaja DAP yang meroyan kerana mereka tidak meyakini al-Quran, sedangkan Allah SWT berulang kali menyebut perkataan 'Ummah' dalam firman-Nya. Apakah salah kita mengamalnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Mukhriz dilaporkan berkata, Piagam Muafakat Nasional yang akan dimeterai antara Pas dengan UMNO pada 14 September ini hanya bertujuan politik semata-mata selain cubaan untuk mengalih perhatian rakyat daripada masalah yang dihadapi kedua-dua parti itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fakhruddin yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri berkata, sekretariat Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) juga telah memaklumkan mengenai jemputan kepada wakil-wakil parti politik termasuk kerajaan ke majlis itu bagi mendapatkan maklumat sahih tentang piagam berkenaan.

"Bahkan, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal HPU, Idris Ahmad yang juga Naib Presiden Pas telah mengulangi pendirian bahawa matlamat himpunan itu adalah untuk memperkasa kedudukan politik Islam tanpa mengkesampingkan realiti masyarakat majmuk.

"Maka, hadir dan sahutlah seruan ke HPU dan jadikan kehadiran kita sebahagian daripada sejarah penyatuan ummah dalam politik Malaysia," ujarnya. - UTUSAN ONLINE