Menurutnya, meskipun wawancara itu tidak memetik nama Ahli Parlimen Port Dickson, namun kenyataan berkenaan dipercayai menyasarkan serangan terhadap Anwar.

Sehubungan itu, Suresh Kumar meminta agar Mukhriz menghormati permuafakatan dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya dalam mengeluarkan kenyataan pada masa akan datang.

“Kami warga PKR sangat sedih dan terkejut dengan wawancara Mukhriz yang berkata bahawa dia tidak bercita-cita tinggi seperti individu lain yang sudah menetapkan tekad untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

“Walaupun Mukhriz tidak menyebut nama Anwar, namun secara umum wawancara itu memberi perspektif bahawa Anwar semakin tamak untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya yang dipetik menerusi laporan portal berita Malaysiakini hari ini.

Suresh Kumar menambah, pendapat peribadi Ahli Parlimen Jerlun yang menganggap dirinya tidak bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri akan dihormati namun, beliau tidak perlu memperkecilkan orang lain.

“Anwar tidak pernah tamak atau menetapkan tekad untuk menjadi Perdana Menteri. Ia adalah satu keputusan diambil oleh PH sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 ( PRU-12) yang lalu.

“Kalau Anwar tamak kuasa, saya percaya Anwar boleh mengambil peluang selepas jawatan Perdana Menteri ditawarkan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE