Mengakui hatinya gusar dengan perkembangan yang boleh mendatangkan masalah kepada umat Islam di negara ini ekoran penyebaran video tersebut, Dr. Zulkifli tampil menyiapkan empat artikel berhubung isu itu.

Jelas Dr. Zulkifli, empat artikel tersebut yang setiapnya bertajuk 'Peristiwa al-Ifki (Fitnah Terhadap A’isyah RA): Pengajaran Menghadapi Fitnah Semasa'; 'Bahaya Fitnah', 'Isu Qazaf: Adakah Termasuk Tuduhan Liwat?' dan 'Tabayyun Dalam Penerimaan dan Penyampaian Berita' itu disifatkan sebagai tanggungjawabnya sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.

"Oleh kerana merasakan perlunya satu panduan yang tuntas kepada umat Islam di Malaysia, saya meluangkan sedikit masa untuk membuat kajian dan menyiapkan empat buah artikel Bayan Linnas berhubung isu ini petang tadi.

"Kepada Datuk Seri Azmin Ali, Haziq Abdul Aziz, sesiapa sahaja yang berkaitan dan seluruh umat Islam di Malaysia, terimalah buah fikiran daripada saya, Zulkifi Mohamad al-Bakri, hamba-Nya yang Maha Mengetahui (al-'Alim), Maha Melihat (al-Basir), Maha Mendengar (al-Muntaqim) dan Maha Adil (al-Adl).

Inilah tanggungjawab yang telah saya lunaskan selaku Mufti Wilayah Persekutuan bagi menyampaikan apa yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah berhubung isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya malam ini.

Keempat-empat artikel tersebut boleh dilihat menerusi pautan, http://bit.ly/hadithifk , http://bit.ly/bfitnah , http://bit.ly/qazafliwat

dan http://bit.ly/tabayyunberita.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli turut mencadangkan agar umat Islam di negara ini untuk sentiasa bermuhasabah dengan mengingati Allah S.W.T kerana setiap perbuatan pasti akan diperhitungkan satu persatu oleh Allah S.W.T.

"Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, marilah sama-sama kita bermaaf-maafan dan mencari keredaan Allah S.W.T selepas kita disucikan dengan ibadat puasa, zakat fitrah dan qiam pada Ramadan yang lalu," katanya. - UTUSAN ONLINE