Zulkifli berkata, laporan oleh kedua-dua portal tersebut menerusi artikel Pejabat Mufti: Jangan khalwat dalam teksi, Uber, Grabcar jelas bercanggah dengan kesimpulan yang dibuat oleh pihaknya.

“Tajuk yang diberikan oleh dua portal ini jelas bercanggah dengan kesimpulan yang dinyatakan.

“Jika hanya melihat tajuk tanpa membaca kandungan, pembaca jelas akan mentafsirkan bahawa mufti melarang perbuatan khalwat dalam teksi, Uber serta GrabCar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan itu membincangkan mengenai persoalan berkenaan Uber menerusi blog Dari Meja Mufti.

Walau bagaimanapun, Malaysiakini melaporkan penjelasan mufti di dalam portal berkenaan dengan menggunakan tajuk Pejabat Mufti: Jangan khalwat dalam teksi, Uber, GrabCar yang jelas mengundang kekeliruan kepada pembaca.

Selepas penyiaran artikel tersebut, isu berkenaan menjadi debat yang tidak berkesudahan dalam kalangan netizen, malah terdapat komen daripada pembaca yang disiarkan di portal berkenaan menghina institusi mufti.

Menurut Zulkifli, penyiaran laporan berkenaan juga memberi sentimen negatif kepada institusi fatwa yang sering dikaitkan dengan hal-hal yang negatif walaupun itu adalah sebaliknya.

“Sekiranya Malaysiakini jujur dalam memberi laporan, sewajarnya kesimpulan akhir yang mengharuskan berserta dhawabit (asas) yang telah disebutkan lebih wajar dijadikan tajuk utama.

“Persepsi buruk akan berlaku dengan tajuk yang seakan-akan sekadar mengejar jumlah pembaca tertinggi seperti ini dan membawa kepada perasaan tidak senang pembaca Islam dan bukan Islam dengan isu yang diulas ini,” katanya.

Tambah beliau, penyiaran artikel berserta tajuk yang tidak sesuai itu juga mengundang komentar negatif yang boleh mencemarkan kredibiliti dan pendirian Pejabat​ Mufti yang konsisten membawa gagasan terbuka berlandaskan syarak serta keharmonian antara kaum dan agama.

“Kami menyeru kepada Malaysiakini dan FMT untuk lebih berhati-hati dalam memberikan laporan kerana kebanyakan laporan berkenaan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini tidak mencerminkan sikap media yang jujur dalam melaporkan sesuatu isu,” katanya. - UTUSAN ONLINE