Beliau berkata, langkah tersebut bertepatan dengan suasana Malaysia baharu yang diperjuangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, pihaknya meminta Kula Segaran agar berdialog dan mengemukakan bukti-bukti sekiranya anggota Kabinet itu adalah ahli politik yang matang dan yakin bahawa kononnya pendakwah tersebut memainkan isu perkauman.

"Kalau Kula Segaran dapat buktikan dengan hujah sehingga Zakir tidak dapat menjawab mengenai apa yang dia (Kula Segaran) kata mengenai isu perkauman itu, saya sendiri akan menjadi yang pertama suruh Zakir keluar (Malaysia)," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, Kula Segaran yang juga Naib Presiden DAP menegaskan beliau sama sekali tidak akan memohon maaf kepada Zakir susulan kenyataannya menggesa tindakan diambil terhadap pendakwah dari India itu.

Kula Segaran dilaporkan berkata, dakwaan Zakir terhadap masyarakat India dan Cina di negara ini jelas menunjukkan penceramah bebas itu mempunyai hasrat mewujudkan perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang budaya di negara ini

Sebelum itu, Zakir menuntut Kula Segaran meminta maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam atas kenyataan yang didakwa telah menfitnahnya.

Sekiranya gagal berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan saman akan diambil terhadap Ahli Parlimen Ipoh Barat itu.

Sementara itu, Mohd. Asri berkata, beliau adalah antara individu yang menyokong kuat idea Malaysia baharu kerajaan PH namun kecewa apabila gagal diterjemahkan dengan baik.

"Kita yang menyokong idea Malaysia baharu, rakyat Malaysia tahu saya antara yang menyokong idea Malaysia baharu ini, tapi saya bukan mengharapkan Malaysia baharu yang seperti ini iaitu mencari permusuhan antara kaum.

"Malaysia baharu adalah Malaysia yang matang, (jika) ada masalah dialog. Dahulu mereka (PH) kata menggalakkan dialog, kononnya ini negara matang," katanya.- UTUSAN ONLINE