Mohd. Asri Zainul Abidin

Menurut Mohd. Asri, menguasai sesuatu bahasa adalah satu kelebihan malah jika ada yang gagal menguasai bahasa negaranya sendiri perkara itu merupakan satu kecacatan.

“Setiap negara ada identitinya. Malaysia adalah Tanah Melayu maka bahasa Melayu antara identitinya. Ba­gaimana mungkin orang Malaysia tidak boleh berbahasa Me­layu?

“Kalau di pe­ringkat pendidikan bagaimana mungkin seorang terpelajar di Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu?” katanya di laman Facebook beliau hari ini.

Mohd. Asri berkata, mana-mana pihak yang tidak fasih berbahasa Melayu walaupun membesar di Malaysia perlu ditolak pada pilihan raya akan datang.

“Orang Bangladesh yang datang ke negara kita beberapa bulan sudah mula boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

“Patutkah ada orang Malaysia yang hidup membesar di sini tetapi tidak fasih bahasa Melayu? Kelompok yang se­perti ini sepatutnya tidak diberikan ruang dalam politik negara ini,” ujarnya.

Tambahnya, adalah menjadi satu perkara yang sangat mendukacitakan apabila ada orang Me­layu yang berbangga apabila tidak fasih berbahasa Melayu.

“Lebih pelik lagi menganggap itu satu kelebihan. Itu sebenarnya adalah satu kedangkalan dan kecacatan diri,” katanya.