Muassasah Asia Tenggara merupakan pihak dilantik kerajaan Arab Saudi untuk menguruskan segala penyediaan kemudahan jemaah haji dari negara-negara Asia Tenggara, termasuk penginapan dan pengangkutan.

Ketua Muassasah tersebut, Mohamad Amin Hassan Andaqiri berkata, beliau sangat kagum dengan komitmen jemaah Malaysia melakukan ibadat dan gembira untuk memenuhi permintaan mereka kerana sentiasa menjadi contoh kepada jemaah lain.

"Saya ingin mengambil berkat dari kesungguhan jemaah haji Malaysia beribadat walaupun dalam cuaca panas dan berjanji akan berusaha memenuhi permintaan mereka," katanya dalam majlis taaruf (suaikenal) antara Tabung Haji dan Muassasah Asia Tenggara di sini, malam tadi.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, dengan kerjasama Muassasah Asia Tenggara, Tabung Haji berazam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia tahun ini.

Katanya, pihak Muassasah sentiasa bekerjasama dengan Tabung Haji dan berusaha meningkatkan kemudahan jemaah haji terutama di Masyair (Arafah, Muzdalifah dan Mina).

"Sebagai contoh, khemah jemaah haji di Arafah kini lebih besar dan selesa kerana dilengkapi penghawa dingin berbanding sebelum ini hanya mempunyai kipas," tambah beliau.

Katanya, Tabung Haji juga akan meneruskan beberapa usaha yang dijalankan sebelum ini dengan memberikan pelbagai latihan untuk menyediakan jemaah dengan persediaan mental dan fizikal sebelum tiba di tanah suci.

"Aspek kendiri dan kebersihan terutama semasa di Arafah dan Mina ditekankan kepada jemaah Malaysia dan kempen kebersihan yang dijalankan sebelum ini juga akan diteruskan," tambahnya.

Sebelum itu, ketika menyambut ketibaan jemaah Malaysia yang pertama di Hotel Abraj-Janadriyah, Syed Saleh berkata, setakat semalam, sebanyak 11 penerbangan jemaah telah sampai di Madinah dan dua daripadanya kini berada di Mekah. - UTUSAN