Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, jumlah pengunjung yang dicatatkan itu melebihi sasaran ditetapkan iaitu 150,000 orang sekali gus menyamai pencapaian pada MSAM 2014 di Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, MSAM yang diadakan sejak 2000 bertujuan untuk terus mendidik masyarakat supaya berubah menjadi individu celik pelaburan dan kewangan.

Beliau berkata, selain didedahkan dengan program pelaburan, MSAM turut memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai konsep perancangan kewangan supaya mereka lebih bijak dalam me­rencanakan kewangan mereka.

“Apa yang kita mahu, setiap masyarakat faham konsep melabur dan perancangan kewangan kerana sekiranya tidak faham, gaji banyak pun tidak cukup namun, jika ada perancangan kewangan gaji kecil pun sudah mencukupi.

“PNB juga berharap MSAM ini akan terus membuka mata masyarakat untuk memahami konsep melabur serta perancangan kewangan supaya tidak tertipu de­ngan skim yang tidak bermanfaat,” kata­nya selepas Majlis Penyam­paian Ha­diah Peraduan Utama MSAM 2016, di sini hari ini.

Majlis Penutupan MSAM semalam disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir serta Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Hamad Kama Piah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini secara langsung atau tidak langsung, dan berharap dengan bantuan diberikan itu mampu melahirkan masyarakat berpendidikan dalam pelaburan serta perancangan kewangan.

“Di kesempatan ini, saya mera­kamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kerana dapat bersama-sama kita dalam pe­nganjuran MSAM kali ini.

“Penghargaan juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta semua yang terbabit dalam penganjuran MSAM kali ini,” katanya.

Sehingga kini, MSAM sudah berjaya menarik seramai 3.3 juta pe­ngunjung dan penganjuran di Tapah merupakan pusingan kedua selepas Kota Bharu, Kelantan (2014) dan Dataran Sibu, Sarawak (2015).

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai ucapan Ahmad Zahid semalam yang memuji daya tahan, daya juang dan daya saing PNB dalam mendepani cabaran ekonomi yang kurang stabil, Hamad Kama Piah berkata, PNB sentiasa bersedia dalam mengharungi kekangan serta permasalahan itu demi memastikan pelaburnya terus mendapat manfaat.

Katanya, walaupun menghadapi tekanan dari segi ekonomi, PNB te­rus utuh dengan memberi pulangan yang kompetitif kepada Pelaburnya serta mempunyai perancangan dari segi pelaburan.

“PNB terus menerus membe­ri­ pulangan kompetitif kepada pe­la­bur dan ini menggambarkan kita merancang pelaburan dengan baik,” katanya.