Pemeteraian MoU itu merupakan kerjasama strategik antara Malaysia dan China dalam kerjasama perdagangan khususnya melibatkan industri francais di kedua-dua negara.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggun (KPDNHEP), MoU ditandatangani oleh Presiden MRCA, Datuk Seri Garry Chua dan Pengerusi CCFA, Gua Geping di Pusat Ekspo Antarabangsa Baharu (NIEC) Shanghai.

Pada majlis sama turut diadakan pemeteraian MoU antara syarikat francais Malaysia, Eleven Lingerie International Sdn. Bhd. dengan Shenzen Zhijin Culture Communication Co. Ltd. bagi pembukaan rangkaian pakaian jenama ELV di sana.

"Majlis disaksikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen yang dalam misi tiga hari mempromosi francais antarabangsa Malaysia ke wilayah berkenaan bermula semalam bersempena Ekspo Francais China (CFE) yang diadakan di NIEC Shanghai," jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut KPDNHEP lagi, misi ke Shanghai merupakan misi ke-3 pengembangan francais (FE) pada tahun ini selepas Filipina dan Thailand.

Jelasnya, penyertaan kementerian pada kali ini turut melibatkan agensi di bawahnya iaitu Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) serta sembilan syarikat francais daripada tiga sektor francais iaitu makanan, pusat pengembangan minda dan kreativiti; kesihatan dan kecantikan; perniagaan peruncitan dan borong serta pakaian.

"Kesemua jenama yang dibawa untuk pameran kali ini dijangka berpotensi untuk menembusi pasaran di China," jelasnya.

Tambahnya, pada misi tersebut, Chieng Jen turut merasmikan Pavillion Malaysia di CFE.

"Selain menyertai pameran, KPDNHEP turut mengadakan kerjasama perniagaan bersama Malaysia-China Chambers of Commerce (MAYCHAM) di Shanghai. Kerjasama dan sokongan daripada MAYCHAM penting dalam misi jenama francais Malaysia untuk menembusi pasaran di China serta membawa jenama francais dari China untuk diperkenalkan di Malaysia.

"Sehingga kini sebanyak 12 jenama francais Malaysia telah berjaya menembusi pasaran di China antaranya Global Art, Poney dan Marrybrown," jelas kenyataan itu lagi. - UTUSAN ONLINE