Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, kerjasama itu bertujuan untuk menyimpan selamat dana infaq, derma dan sumbangan yang dihulurkan kepada MRA secara berkesan.

“MRA secara rasminya melantik MAAB, anak syarikat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) sebagai rakan korporat dalam pengamanahan.

“Dengan menandatangani ikatan persefahaman ini, MAAB sebagai pemegang amanah akan memastikan dana yang diuruskan disimpan selamat dan ditadbir dengan berkesan mengikut Akta Syarikat Amanah 1949,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif MAAB, Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz dan Bendahari MRA, Datuk Shakir Husein Kalid.

Tambah Mohd. Daud lagi, kerjasama ini akan meningkatkan keyakinan penyumbang dana yang terdiri daripada individu, yayasan dan korporat dengan ketelusan dan integriti MRA mengurus sumbangan yang dihulurkan.

Kata beliau, ahli yang berdaftar di bawah program Angkasa juga boleh menyumbang untuk tabung kemanusiaan MRA melalui potongan caruman Angkasa secara berkala setiap bulan.

“MRA juga amat mengalu-alukan hasrat Abdul Fattah untuk mengukuhkan lagi jaringan dan mengadakan kerjasama strategik dengan rangkaian MRA di seluruh negara.

“Ini bagi melahirkan lebih ramai sukarelawan yang terlatih dalam menghadapi situasi bencana di samping membantu masyarakat yang berkeperluan untuk kebaikan semua pihak,” katanya. - UTUSAN ONLINE