Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli memaklumkan, berdasarkan laporan pemantauan yang diterima dan mesyuarat yang diadakan bersama agensi-agensi yang berkaitan pada 21 Disember lalu, didapati pengosongan stok simpanan (stockpile) dari Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman masih belum berlaku.

Sehubungan itu katanya, moratorium ke atas aktiviti perlombongan serta pengeksportan bauksit dari Pahang perlu dilanjutkan lagi dan stok simpanan bauksit dari Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman perlu dikosongkan.

Menurutnya, pengosongan itu perlu dilakukan sebelum prosedur baharu yang telah dirangka berhubung perlombongan, pengangkutan, pengurusan stockpile dan pengeksportan bauksit dari Pahang dapat dilaksanakan.

"Kementerian ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat bahawa perintah berhenti kerja (stop work order) yang dikeluarkan di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 ketika permulaan pengenaan moratorium ini masih lagi berkuat kuasa.

"Mana-mana pihak tidak dibenarkan menjalankan apa-apa kerja perlombongan bauksit di Pahang sehinggalah perintah ini ditarik balik," kata kementerian dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE